BEIJING, 6 Julai – Hujan lebat yang melanda beberapa wilayah di China sejak minggu lalu telah mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh dan kerosakan serius terhadap infrastruktur, memaksa pihak berkuasa mengaktifkan tindak balas kecemasan secara menyeluruh.
Di Daerah Danba, Wilayah Sichuan, barat daya China, hujan dengan kadar maksimum 23.2 milimeter sejam telah menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di 12 pekan.
Seramai 1,719 penduduk daripada 645 isi rumah telah dipindahkan ke lokasi lebih selamat.
Pada malam Jumaat, satu kejadian tanah runtuh besar berlaku di Pekan Badi, memaksa 491 penduduk dari dua buah kampung dipindahkan serta-merta.
Selain itu, hujan lebat turut menjejaskan Daerah Beichuan di Bandar Mianyang, dengan puluhan jalan ditutup akibat kerosakan.
Namun, selepas hujan reda pada Sabtu, lebih 130 seksyen jalan telah dibuka semula hasil usaha pantas pasukan penyelamat dan jentera berat yang dikerahkan untuk membersihkan runtuhan.
Di Longnan, Wilayah Gansu, lima daerah turut terjejas akibat hujan berterusan. Pasukan kecemasan mula bertindak sebaik hujan reda dengan membersihkan halangan dan mengagihkan bantuan.
“Kami telah menyediakan 700 katil lipat, 700 selimut dan 400 kit bantuan kecemasan yang dihantar terus kepada penduduk yang terjejas,” kata Wu Hao, Timbalan Pengarah Biro Tindak Balas Kecemasan Daerah Huixian.
Sementara itu di timur laut negara itu, Bandar Daqing di Wilayah Heilongjiang turut dilanda hujan lebat singkat dengan kadar 40 milimeter sejam pada Sabtu, menyebabkan beberapa kawasan bandar dinaiki air.
Kebanyakan kawasan berjaya dibersihkan menjelang malam hasil tindakan segera pihak berkuasa.-REUTERS