fb fb fb fb fb

Papua New Guinea boikot sidang kemuncak iklim PBB

Foto AFP

SYDNEY, 31 Oktober- Papua New Guinea akan memboikot sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bulan depan.

Menteri Luar Negeri, Justin Tkatchenko menyifatkan rundingan mengenai pemanasan global itu sebagai 'pembaziran masa' yang dipenuhi dengan janji kosong oleh negara-negara pencemar.

"Tiada gunanya pergi jika kami hanya mengantuk kerana 'jet lag' tanpa mencapai apa-apa. Ini adalah pembaziran masa sepenuhnya.

"Kami bosan dengan retorik dan putaran janji tanpa tindakan yang telah berlangsung selama tiga tahun.

"Kami adalah negara hutan hujan ketiga terbesar di dunia. Kami menyerap pencemaran dari negara-negara besar ini, namun mereka bebas begitu sahaja," kata Tkatchenko kepada AFP.

Pulau New Guinea memiliki kawasan hutan hujan yang luas, menjadikannya hutan hujan ketiga terbesar di dunia dan dianggap sebagai salah satu 'paru-paru bumi'.

Dikelilingi lautan dan sering mengalami bencana alam, Papua New Guinea sangat terdedah dan mudah terkesan oleh risiko perubahan iklim yang semakin serius. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM