fb fb fb fb fb

El Salvador hantar tentera ke Haiti bantu redakan keganasan kumpulan jenayah

FOTO AFP

SAN SALVADOR, 31 Oktober- Parlimen El Salvador pada Rabu telah meluluskan penghantaran tentera ke Haiti untuk menyokong misi multinasional yang bertujuan untuk meredakan keganasan kumpulan jenayah.

Presiden negara Amerika Tengah itu, Nayib Bukele, yang sangat popular dalam kalangan rakyatnya kerana tindakan tegasnya terhadap kumpulan penjenayah, pada bulan Mac lalu menawarkan untuk "menyelesaikan" krisis yang semakin meruncing di Haiti.

Presiden Dewan Perundangan, Ernesto Castro, menyatakan, penghantaran tentera itu diluluskan dengan 57 undian daripada 60 ahli kongres, yang majoritinya dikawal oleh parti pemerintah.

Butiran penuh mengenai batalion tentera berkenaan masih belum diumumkan sepenuhnya.

Menurut pengarah urusan undang-undang di kementerian luar negeri El Salvador, Patricia Bran, pasukan pertama hanya akan menjalankan misi pemindahan perubatan.

Pada 30 September, Majlis Keselamatan PBB telah melanjutkan kuasa misi multinasional yang dipimpin oleh Kenya untuk membantu polis nasional Haiti selama setahun.

El Salvador telah berada dalam keadaan darurat sejak Mac 2022 sebagai sebahagian daripada perang kontroversial Bukele terhadap kumpulan gangster.

Sekitar 83,000 anggota kumpulan yang disyaki telah ditahan bawah langkah tersebut, yang membenarkan tangkapan tanpa perintah mahkamah.

Tindakan keras tersebut telah membawa kepada penurunan kadar pembunuhan yang ketara dan dipuji oleh ramai rakyat Salvador, walaupun kumpulan hak asasi manusia mengkritik kaedah Bukele yang dikatakan mengabaikan hak asasi manusia.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE