fb fb fb fb fb

Pangsapuri suspek kes tembak Charlie Kirk digeledah

FOTO REUTERS

ST. GEORGE, 13 September - Polis negeri di St. George, Utah pada Jumaat mengumpul bukti forensik dari sebuah pangsapuri yang didakwa jiran sebagai tempat tinggal suspek pembunuhan aktivis konservatif Charlie Kirk.

Pangsapuri itu terletak kira-kira tujuh batu dari rumah keluarga suspek, Robinson, 22 tahun, yang ditahan pada Khamis malam, 33 jam selepas insiden tembakan berlaku, menurut Pengarah FBI, Kash Patel.

Seorang penghuni, Bryan Phipps, 34, berkata dia kerap melihat Robinson keluar masuk dengan kereta Dodge Challenger berwarna kelabu, malah bercadang berpindah kerana menganggap kawasan itu tidak selamat untuk anak-anaknya.

Robinson ditahan selepas mengaku, atau memberi bayangan kepada seorang rakan keluarga bahawa beliau terlibat dalam pembunuhan tersebut. Individu itu kemudian menghubungi Pejabat Sheriff Daerah Washington pada Khamis.

Sebelum ini, pihak berkuasa telah menyiarkan beberapa imej kamera litar tertutup (CCTV) suspek untuk membantu siasatan.

Kirk, sekutu rapat Presiden AS Donald Trump, ditembak mati dengan sebutir peluru ketika berucap di sebuah amfiteater terbuka di Utah Valley. Trump menyifatkan pembunuhan itu sebagai satu pembunuhan kejam.

Insiden tersebut mencetuskan kemarahan penyokong Kirk selain turut menerima kecaman terhadap keganasan politik daripada pemimpin Demokrat, Republikan serta kerajaan asing.

Kirk, 31, dikenali sebagai figura berkarisma yang memainkan peranan penting mengumpul sokongan belia kepada Trump dalam pilihan raya presiden 2024.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE