AUCKLAND, 13 September - Ribuan orang menyertai perarakan pro-Palestin di Auckland, bandar terbesar New Zealand, pada Sabtu, dalam apa yang dikatakan penganjur sebagai perhimpunan terbesar seumpamanya sejak perang di Gaza bermula antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin Hamas.
Sekitar 50,000 orang menghadiri perhimpunan March for Humanity di pusat bandar Auckland pada pagi Sabtu, menurut kumpulan Aotearoa for Palestine. Polis New Zealand menganggarkan kehadiran kira-kira 20,000 orang.
Jurucakap Aotearoa for Palestine, Arama Rata, berkata ia merupakan perarakan terbesar di New Zealand bagi menyokong Palestin sejak konflik di Gaza tercetus.
Pihak berkuasa Palestin menyatakan lebih 64,000 orang terbunuh dalam konflik di Gaza, sementara pertubuhan kemanusiaan memaklumkan kekurangan makanan menyebabkan kebuluran yang meluas.
Sebahagian besar peserta perarakan pada Sabtu membawa bendera Palestin dan sepanduk bertulis slogan seperti “Jangan normalkan pembunuhan beramai-ramai” dan “Tegaslah, berdirilah bersama Palestin”, lapor penyiar awam Radio New Zealand.
Penganjur, yang mendapat ilham daripada perarakan yang menutup Jambatan Harbour ikonik Sydney pada Ogos lalu, pada mulanya mahu menutup sebuah jambatan utama bandar dengan perhimpunan Sabtu itu. Namun, rancangan itu terpaksa dibatalkan pada Jumaat berikutan angin kencang.
Polis berkata tiada tangkapan dibuat sepanjang perarakan dan jalan sepanjang laluan perhimpunan telah dibuka semula.
Aotearoa for Palestine menyatakan pihaknya mahu kerajaan campuran berhaluan kanan New Zealand mengenakan sekatan terhadap Israel.
Perdana Menteri Christopher Luxon pada Ogos lalu menyifatkan tindakan terbaru Israel di Gaza, termasuk kegagalan menyalurkan bantuan kemanusiaan, sebagai sangat mengejutkan dan New Zealand sedang menimbangkan sama ada untuk mengiktiraf sebuah negara Palestin.-REUTERS