GENEVA, 17 Mac - Pandemik COVID-19 boleh mereda pada tahun ini dan hanya akan menular seperti selsema, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
WHO yakin akan menamatkan darurat pada tahun ini serta berharap fasa pandemik bagi virus itu akan berakhir.
Hujung minggu lalu menandakan sudah tiga tahun WHO mengisytiharkan virus berkenaan sebagai pandemik walaupun ketuanya, Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan negara lain sepatutnya sudah mengambil tindakan membendung penularannya beberapa minggu sebelum itu.
"Saya berpendapat, kita nanti akan sampai satu tahap di mana melihat COVID-19 ini sebagai satu influenza yang bermusim. Virus itu akan terus membunuh dan akan memberi ancaman kepada sektor kesihatan.
"Namun, saya percaya pada masa akan datang virus ini tidak lagi mengganggu masyarakat kita atau ganggu sistem hospital seperti yang disuarakan oleh Tedros sebelum ini," kata Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan pada sidang media.
Tedros sebelum ini memaklumkan dunia kini berada dalam kedudukan yang jauh lebih baik berbanding ketika wabak itu menular.
"Saya yakin pada tahun ini wabak COVID-19 akan berakhir sebagai kecemasan kesihatan awam bagi kebimbangan antarabangsa (PHEIC)," katanya.-AFP