fb fb fb fb fb

Waran tangkap bekas PM Pakistan digantung

(FOTO AFP)

LAHORE, 17 Mac - Waran tangkap terhadap bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan digantung hari ini.

Khan sebelum ini digulingkan menerusi undi tidak percaya yang dilakukan tahun lalu menyebabkan beliau disiasat dengan puluhan kes berkaitan undang-undang.

Waran tangkap yang dikeluarkan sebelum ini adalah disebabkan tindakannya yang gagal hadir ke Mahkamah Islamabad untuk menjawab kes yang dibawa oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan kerana didakwa tidak mengisytiharkan hadiah yang diterima ketika menjadi Perdana Menteri serta mendapat keuntungan daripada menjual hadiah itu.

(Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan / FOTO FAIL AFP)

Percubaan polis pada minggu ini untuk menahan Khan, 70, berakhir dengan pertempuran sengit dengan penyokongnya di luar rumah.

Perbalahan undang-undang di mahkamah sejak semalam akhirnya mendapat kata putus apabila waran tangkap terbabit akhirnya digantung.

"Mahkamah Tinggi Islamabad menggantung waran tangkap itu dan ia tidak boleh dijamin serta Khan akan hadir ke mahkamah esok," kata seorang daripada anggota kanan pasukan undang-undangnya, Faisal Chaundhry.

Selepas waran tangkap itu ditarik balik, Khan meninggalkan rumahnya buat kali pertama dalam tempoh beberapa hari untuk hadir ke mahkamah bagi kes yang didakwa.

Puluhan penyokongnya mengerumuni konvoi Khan sambil bersorak dan mengibarkan bendera Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) Khan.

Selasa lalu, anggota keselamatan bertempur dengan penyokong di hadapan rumahnya sambil melepaskan gas pemedih mata serta mengelak daripada terkena batu yang dilemparkan oleh orang ramai yang sedang marah.

Sejak kejadian itu, penyokong Khan terus mengawal di luar rumahnya dan berwaspada supaya pihak polis tidak kembali ke kawasan itu untuk menahan bekas pemimpin terbabit.

Khan berkata, beliau takut sekiranya ditahan kerana pihak berkuasa mahu memenjarakannya bagi menghalang daripada bertanding dalam pilihan raya yang akan diadakan menjelang Oktober ini.-AFP

Media Baharu