SEOUL, 23 Oktober- Kerajaan Korea Selatan akan memastikan 24,000 tan kubis daripada stok negara dibekalkan untuk memberi sokongan semasa musim pembuatan kimchi pada November depan.
Ia berikutan gangguan cuaca panas luar biasa yang telah menjejaskan tanaman kubis.
Kerajaan setiap tahun mengumumkan langkah untuk membantu menstabilkan harga kubis, lobak, serbuk lada merah dan bahan kimchi utama lain untuk musim pengeluaran makanan pada November.
Bagaimanapun, tahun ini "suhu luar biasa tinggi" menyebabkan gangguan ke atas bekalan kubis dan lobak.
Kementerian Pertanian dalam satu kenyataan berkata, berikutan cuaca tidak menentu kerajaan terpaksa menaikkan harga kubis yang ditanam secara kontrak kira-kira 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Pentadbiran Meteorologi Korea purata suhu Jun hingga Ogos di Korea Selatan adalah yang tertinggi tahun ini berbanding 1973. Suhu pada sebelah malam merekodkan melebihi 25 darjah Celcius.
Berikutan itu ia telah menjejaskan tanaman musim panas. Pada pertengahan September harga setiap kubis yang dijual melonjak kepada 9,537 won ($6.90) berbanding sekitar 3,000 won pada awal Julai.
Bagaimanapun, setakat akhir Oktober harganya jatuh kepada 5,610 won. Kementerian itu turut menjangkakan harga jualan kubis terus turun pada akhir November susulan keadaan tanaman bertambah baik.
Dalam pada itu kerajaan juga bercadang untuk menambah baik teknologi penyimpanan dan memperluaskan kemudahan untuk menyimpan kubis.
Ketua pengagihan makanan dan dasar penggunaan kementerian juga memeklumkan, kementerian itu akan menyediakan stok kecemasan kubis sebanyak 1,000 tan pada setiap masa.
Perubahan iklim di seluruh dunia mengancam tanaman khusus bagi setiap negara berikutan cuaca yang tidak menentu yang dihadapi ketika ini.- REUTERS