fb fb fb fb fb

Paksa penjualan Chrome, Google tentang usul AS

Foto Reuters

SAN FRANCISCO, 21 Disember - Google menentang seruan dari Amerika Syarikat (AS) yang mengarahkan syarikat itu menjual pelayar Chrome, dengan mencadangkan agar seorang hakim menangani kebimbangan antitrust dengan melarang Google daripada menjadikan layanan lebih baik terhadap perisian mereka sebagai syarat untuk melesenkan aplikasi popular seperti Chrome, Play, atau Gemini.

Google mengemukakan draf perintah 12 muka surat yang mencadangkan agar syarikat itu dilarang daripada mewajibkan pengedaran atau layanan lebih baik terhadap perisian mereka pada peranti mudah alih sebagai syarat untuk melesenkan aplikasi-aplikasi terkenal seperti Chrome, Play, atau Gemini.

Sebaliknya, kerajaan AS pada November lalu meminta seorang hakim untuk mengarahkan agar Google dipecah dengan menjual pelayar Chrome yang digunakan secara meluas, dalam tindakan penguatkuasaan antitrust terhadap syarikat itu.

Jabatan Kehakiman AS turut menggesa agar perniagaan Google diubah, termasuk melarang perjanjian bagi Google menjadi enjin carian lalai pada telefon pintar serta menghalang syarikat itu daripada mengeksploitasi sistem operasi mudah alih Android.

Kes ini merupakan peringkat seterusnya dalam perbicaraan antitrust bersejarah, di mana pada Ogos lalu, hakim Mahkamah Daerah AS, Amit Mehta, memutuskan bahawa Google adalah monopoli.

Google mencadangkan agar Mehta melarangnya daripada menggunakan daya tarikan lesen aplikasi mereka untuk memaksa pengeluar peranti mudah alih memasang perisian carian mereka secara prapasang atau menjadikannya tawaran lalai, menurut pemfailan mahkamah.

"Draf perintah ini tidak akan menghalang Google daripada memberikan pertimbangan kepada pengeluar peranti mudah alih atau pembawa tanpa wayar berkenaan produk atau perkhidmatan Google sebagai pertukaran untuk pengedaran, penempatan di mana-mana titik capaian, promosi, atau pelesenan produk atau perkhidmatan Google itu," kata dokumen itu.

Seruan untuk pemecahan Google menandakan perubahan besar dalam tindakan pengawal selia kerajaan AS, yang sejak dua dekad lalu lebih membiarkan gergasi teknologi tanpa gangguan selepas kegagalan untuk memecahkan Microsoft.

Tidak kira apa keputusan akhir hakim Mehta, Google dijangka akan merayu keputusan tersebut, yang akan melambatkan proses itu untuk bertahun-tahun dan berpotensi memberikan keputusan terakhir kepada Mahkamah Agung AS.

Kes itu juga berpotensi dipengaruhi oleh kedatangan Presiden terpilih Donald Trump ke White House pada Januari.

Pentadbirannya mungkin akan menggantikan pasukan semasa yang bertanggungjawab terhadap bahagian antitrust Jabatan Kehakiman, dan memutuskan sama ada untuk meneruskan kes ini, meminta penyelesaian dengan Google, atau meninggalkan kes ini sama sekali.

Perbicaraan yang berakhir tahun lalu menyelidiki perjanjian sulit Google dengan pengeluar telefon pintar, termasuk Apple.

Perjanjian itu melibatkan pembayaran besar untuk memastikan enjin carian Google menjadi pilihan lalai pada pelayar, iPhone dan peranti lain.

Hakim memutuskan bahawa pengaturan ini memberi Google akses tanpa tandingan kepada data pengguna, membolehkannya membangunkan enjin carian menjadi platform yang mendominasi secara global.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN