fb fb fb fb fb

Pergaduhan ahli Parlimen: Rahul Gandhi disiasat

Pemimpin utama Parti Kongres, Rahul Gandhi / Foto REUTERS

NEW DELHI, 21 Disember- Ketua pembangkang India, Rahul Gandhi, sedang disiasat polis berhubung pergaduhan antara ahli parlimen pembangkang dan parti pemerintah, Bharatiya Janata Party (BJP) yang diketuai Perdana Menteri Narendra Modi.

Insiden itu menyebabkan dua ahli parlimen cedera, menurut polis pada Jumaat.

Aduan polis dibuat oleh BJP yang menuduh Gandhi menolak dan menumbuk ahli parlimen mereka, menyebabkan kecederaan kepada dua individu ketika protes di luar bangunan parlimen pada Khamis.

Gandhi, pemimpin parti Kongres dan waris dinasti politik Nehru-Gandhi telah menghadapi pelbagai kes mahkamah sebelum ini.

Tahun lalu, beliau pernah di gantung sementara dari parlimen selepas dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dalam kes fitnah.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung menggantung sabitan itu dan mengembalikan semula keahlian parlimennya.

Rakaman televisyen pada Khamis menunjukkan salah seorang ahli parlimen yang cedera dibawa menggunakan kerusi roda dengan seorang wanita kelihatan berdarah di dahinya.

Bagaimanapun, Gandhi menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa ahli BJP telah menolak serta mengugutnya selain cuba menghalangnya daripada memasuki parlimen semasa pergaduhan itu berlaku.

Parti Kongres turut memfailkan aduan polis, menuduh ahli BJP bertindak kasar terhadap presiden parti mereka, Mallikarjun Kharge.

"Kes terhadap Rahul Gandhi sedang disiasat," kata seorang pegawai kanan polis Delhi yang enggan dinamakan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.

"Kami akan meneliti rakaman kejadian dan menyiasat aduan daripada kedua-dua pihak. Tindakan akan diambil jika diperlukan," tambah pegawai itu.

Menurut agensi berita ANI, ahli parlimen yang cedera sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Priyanka Gandhi Vadra, adik kepada Rahul dan juga ahli parlimen, berkata siasatan terbaru itu mencerminkan keputusasaan BJP.

"Seluruh negara melihat mereka memfailkan pelbagai kes terhadap Rahul.

"Mereka buat laporan baru, menipu. Ini menunjukkan tahap keputusasaan mereka," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Sementara itu, Menteri Pertanian Shivraj Singh Chouhan menolak dakwaan Kongres dengan berkata:

"Mereka berbohong dan cuba mengelirukan rakyat", katanya.

Kedua-dua dewan parlimen India ditangguhkan beberapa minit selepas bersidang pada Jumaat, menamatkan sesi musim sejuk yang sering terganggu akibat tuduhan politik antara parti pemerintah dan pembangkang yang saling menyalahkan satu sama lain kerana menghalang urusan perundangan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD