fb fb fb fb fb

Pakatan Quad tolak pengubahan status quo secara paksa

(FOTO REUTERS)

TOKYO, 24 Mei - Pemimpin Jepun, Australia, Amerika Syarikat dan India bersepakat menentang semua percubaan untuk "mengubah status quo dengan kekerasan, khususnya di Indo-Pasifik".

Kenyataan itu, yang dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak empat anggota yang dipanggil pakatan Quad, senada dengan tekanan antarabangsa terhadap Moscow berhubung pencerobohannya di Ukraine, dan kebimbangan yang semakin meningkat tentang kemungkinan Beijing cuba merampas Taiwan secara paksa.

"Memandangkan pencerobohan Rusia di Ukraine menggoyahkan prinsip asas perintah antarabangsa, kami mengesahkan bahawa percubaan unilateral untuk mengubah status quo secara kekerasan tidak akan pernah diterima di mana-mana, terutamanya di rantau Indo-Pasifik," kata Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.

Mesyuarat itu dihadiri Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Perdana Menteri India Narendra Modi, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Kishida.

Dalam satu kenyataan bersama, para pemimpin membuat rujukan khusus kepada "penggunaan kekuatan tentera dalam pertikaian, penggunaan berbahaya kapal pengawal pantai dan militia maritim, serta usaha mengganggu aktiviti eksploitasi sumber luar pesisir negara lain".

Mereka bagaimanapun mengelak daripada membuat kritikan yang jelas terhadap China atau Rusia.

India satu-satunya ahli Quad yang enggan mengkritik Moscow secara terbuka berhubung pencerobohannya terhadap Ukraine.

(Joe Biden, Narendra Modi, Anthony Albanese dan Kishida sepakat menentang semua percubaan untuk
"mengubah status quo dengan kekerasan, khususnya di Indo-Pasifik"/REUTERS)
 

Selepas perbincangan di Tokyo, negara-negara Quad juga bersetuju dengan inisiatif pemantauan maritim baharu yang dijangka meningkatkan pengawasan aktiviti China di rantau ini.

Mereka mengumumkan rancangan untuk membelanjakan sekurang-kurangnya AS$50 bilion untuk projek infrastruktur dan pelaburan dalam tempoh lima tahun akan datang. -AFP

Media Baharu