fb fb fb fb fb

Pakar beri amaran virus selesema burung mutasi dengan cepat

PARIS, 3 Jun- Pakar memberi amaran untuk memvaksin ayam mereka bagi mengelakkan virus selesema burung menyerang ternakan kerana ia bermutasi dengan pantas di seluruh dunia.

Menurut pakar yang ditemui AFP, risiko jangkitan kepada manusia kekal rendah manakala peningkatan jumlah kes selesema burung kepada haiwan membimbangkan.

Sejak pertama kali muncul pada tahun 1996, virus influenza burung H5N1 sebelum ini hanya terhad kepada wabak bermusim.

Menurut Richard Webby, ketua pusat kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang mengkaji influenza pada haiwan, "sesuatu telah berlaku" pada pertengahan 2021 yang menjadikan kumpulan virus itu lebih menular.

Sejak itu, wabak tersebut mula merebak ke kawasan baharu dan membawa kepada kematian beribu-ribu burung liar dan berpuluh-puluh juta ternakan dimusnahkan.

Webby, penyelidik di Hospital Penyelidikan Kanak-Kanak St Jude di bandar Memphis AS, memberitahu AFP, wabak selesema burung itu "sangatlah" dahsyat melanda dunia.

Dia mengetuai penyelidikan, yang diterbitkan minggu ini dalam jurnal Nature Communications, menunjukkan bagaimana virus itu berkembang dan merebak dari Eropah ke Amerika Utara.

Menurut kajian itu, ia meningkat dalam virulensi, yang bermaksud ia menyebabkan penyakit yang lebih berbahaya, apabila tiba di Amerika Utara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan risiko kepada manusia masih rendah, dan "virus ini tidak statik, ia berubah" namun dalam kes yang jarang berlaku, manusia juga boleh dijangkiti dan membawa kepada kematian selepas bersentuhan dengan burung yang dijangkiti.- AFP

(Penguin Humboldt mati di Pantai Choros, Coquimbo/AFP)

Media Baharu