fb fb fb fb fb

Australia rancang wujudkan taman laut sebesar Sepanyol

Foto Hiasan

SYDNEY, 4 Jun - Australia merancang untuk mewujudkan taman laut hampir sebesar negara Sepanyol di sekitar pulau terpencil di luar pantai tenggaranya.

Di bawah cadangan itu, Taman Laut Pulau Macquarie sedia ada akan ditingkatkan tiga kali ganda, menjadikan sejumlah 475,465 kilometer persegi (183,578 batu persegi) di bawah perlindungan.

Saiz kawasan itu menghampiri saiz sebuah negara Sepanyol atau Cameroon dan lebih besar daripada Vietnam atau Jepun.

Menurut Menteri Alam Sekitar Australia, Tanya Plibersek,perlindungan itu bermakna kawasan itu akan ditutup sepenuhnya untuk aktiviti menangkap ikan, perlombongan dan aktiviti pembangunan lain.

Bagaimanapun, operasi perikanan sedia ada yang menyasarkan ikan gigi Patagonian akan dibenarkan untuk diteruskan.

Pulau Macquarie terletak di tengah-tengah antara Australia dan Antartika dan merupakan rumah kepada penguin diraja, anjing laut bulu dan hab sains subantartik.

"Pulau Macquarie ialah tempat yang luar biasa. Ia adalah kawasan ajaib hidupan liar terpencil, tempat pembiakan kritikal untuk berjuta-juta burung laut, anjing laut dan penguin," kata Plibersek.

Kumpulan alam sekitar telah menyokong rancangan itu, bimbang kawasan itu boleh menjadi sasaran perlombongan dasar laut dan perikanan komersial yang tidak mampan.- AFP


(Foto Hiasan)

Media Baharu