fb fb fb fb fb

Pakar AS kumpul bukti kaitkan perang di Ukraine sebagai jenayah

(Setiausaha Negara A.S. Antony Blinken dalam sidang akhbar
mengenai pencerobohan Rusia ke atas Ukraine,
di Jabatan Negara di Washington, A.S., 17 Mac, 2022/ FOTO REUTERS)

WASHINGTON, 18 Mac- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, senada dengan Presiden, Joe Biden bahawa serangan yang berlaku di Ukraine adalah bersifat jenayah perang.

Sehubungan itu, pakar di Amerika Syarikat (AS) sedang mengumpulkan bahan untuk membuktikan perkara itu.

Biden memberitahu pemberita sehari sebelum itu bahawa dia percaya Presiden Rusia Vladimir Putin adalah "penjenayah perang" tetapi Rumah Putih kemudian berkata tiada penentuan rasmi dibuat mengenai potensi pelanggaran undang-undang antarabangsa sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu.

"Secara peribadi, saya bersetuju," kata Blinken dalam sidang akhbar di Jabatan Negara.

"Menyasarkan orang awam secara sengaja adalah jenayah perang," kata Blinken, sambil menambah bahawa dia mendapati sukar untuk membuat kesimpulan bahawa Rusia melakukan sebaliknya selepas kemusnahan sejak beberapa minggu lalu,"tambahnya.

Blinken mengimbas semula insiden terbaharu Russia mengebom hospital, sekolah dan teater tempat orang awam berlindung, dan berkata ia adalah sebahagian daripada senarai panjang serangan ke atas orang awam di seluruh Ukraine dan bukannya kepada tentera.

(Keadaan bilik tidur di pangsapuri yang rosak selepas peluru berpandu mengebom bangunan kediaman
di Kiev, Ukraine 17 Mac 2022/ FOTO REUTERS)

Blinken berkata, Duta Besar Washington yang baharu untuk Keadilan Jenayah Global, Beth Van Schaack, akan mengetuai usaha Jabatan Negara bagi mendokumentasikan dan menilai potensi jenayah perang yang dilakukan di Ukraine.

"Kita akan memastikan sebarang penemuan akan membantu usaha antarabangsa untuk menyiasat jenayah perang dan pihak yang bertanggungjawab harus menerima akibatnya," katanya.

Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Karim Khan, melawat Ukraine dan negara jiran, Poland minggu ini selepas mahkamah membuka siasatan ke atas kemungkinan jenayah perang dalam konflik itu awal bulan ini.

Sementara itu, Kremlin menganggap kenyataan dibuat Biden sebagai suatu retorik yang tidak boleh diterima dan dimaafkan.

Moscow sebaliknya berkata, negara itu sedang menjalankan operasi ketenteraan khas untuk melucutkan senjata dan menyahnazikan jirannya, sekali gus menolak dakwaan menyasarkan serangan ke atas orang awam.

Sehari sebelumnya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggelar Vladimir Putin sebagai 'penjenayah perang' susulan tindakan rakan sejawatnya dari Russia itu ke atas Ukraine.

Biden ketika bersama wartawan di White House pada Rabu, berkata "Oh, saya rasa dia seorang penjenayah perang" selepas pada mulanya menjawab "tidak" kepada soalan sama ada beliau bersedia untuk menggelar Putin sebegitu.

Ia kali pertama Biden menjenamakan Putin secara terbuka dengan frasa sedemikian. Minggu lalu, semasa lawatan ke Poland, Naib Presiden AS, Kamala Harris berkata, Russia harus benar-benar disiasat untuk potensi jenayah perang.

Setiausaha akhbar White House, Jen Psaki kemudian menyatakan Biden bercakap dari hati, sambil menyatakan terdapat proses undang-undang berasingan untuk menentukan sama ada Putin melanggar undang-undang antarabangsa serta melakukan jenayah perang, malah proses itu sedang dijalankan di Jabatan Negara. -REUTERS


Media Baharu