(Beribu-ribu rakyat Kanada mengadakan perhimpunan di bandar-bandar di seluruh negara
untuk membantah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine/FOTO FAIL AFP)
MONTREAL, 18 Mac- Kanada menawarkan permit pemastautin sementara selama tiga tahun kepada rakyat Ukraine yang melarikan diri dari negara itu akibat pencerobohan Russia.
Dalam satu kenyataan, Kanada yang juga mempunyai ramai penduduk berketurunan Ukraine, terutama di tengah dan barat negaranya, memberi kebenaran berkenaan.
"Rakyat Ukraine dan ahli keluarga terdekat mereka dari mana-mana kewarganegaraan boleh tinggal di Kanada sebagai penduduk sementara sehingga tiga tahun," katanya.
Katanya, pemohon dikehendaki membuat permohonan dalam talian dan memberikan data biometrik mereka dalam bentuk cap jari dan gambar dan pelarian Ukraine juga boleh memohon permit kerja dan belajar secara serentak.
(Rakyat di Pokrovsk menunggu bas untuk dipindahkan oleh Pentadbiran Wilayah Donetsk, Ukraine
berikutan serangan tentera Russia/FOTO REUTERS)
"Rakyat Ukraine dan keluarga mereka yang sudah menetap di Kanada juga akan mendapat manfaat daripada langkah baharu itu dan boleh melanjutkan status pelawat atau permit kerja mereka selama tiga tahun, memohon permit baharu kerja atau belajar atau melanjutkan permit sedia ada mereka," katanya.
Berdasarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Khamis lalu, lebih tiga juta orang melarikan diri dari Ukraine sejak pencerobohan maut Russia bermula pada 24 Februari lalu.
Difahamkan, sebahagian daripada mereka mendapatkan perlindungan di Poland. -AFP