BANGKOK, 29 Ogos - Bekas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, menegaskan bahawa perbualan telefon beliau dengan bekas pemimpin Kemboja yang membawa kepada pemecatannya oleh Mahkamah Perlembagaan adalah bagi menjaga kepentingan negara.
"Keputusan mahkamah hari ini, sekali lagi, menyebabkan perubahan mendadak dalam politik Thai. Kita semua perlu membantu antara satu sama lain sama ada kerajaan atau pembangkang, atau rakyat.
"Kita semua perlu bekerjasama untuk membina kestabilan politik dan mengembalikannya kepada kekuatan, untuk memastikan tidak akan ada satu lagi titik perubahan seperti ini lagi," katanya kepada pemberita.
Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Jumaat memutuskan pemecatan Paetongtarn daripada jawatannya atas kesalahan melanggar etika, hanya selepas setahun memegang tampuk pemerintahan, sekali gus mencetuskan fasa baharu ketidaktentuan politik di negara Asia Tenggara itu.
Paetongtarn merupakan perdana menteri kelima dalam tempoh 17 tahun yang disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan, sekali gus menyerlahkan peranan penting institusi kehakiman itu dalam perebutan kuasa yang berlarutan antara kerajaan pilihan rakyat yang dipimpin oleh puak Shinawatra dan kelompok konservatif serta jeneral diraja yang mempunyai pengaruh meluas dalam politik Thailand.- REUTERS