fb fb fb fb fb

Banjir besar landa Kartarpur, operasi menyelamat diteruskan

Foto AFP

PUNJAB, 29 Ogos – Operasi menyelamat diteruskan di bandar Kartarpur, wilayah Punjab, Pakistan pada Jumaat susulan banjir besar yang menenggelamkan kawasan berhampiran kuil Kartarpur Sahib.

Air banjir dilaporkan telah melimpah ke jalan utama menuju ke Gurdwara Sri Darbar Sahib Kartarpur, menyebabkan pasukan penyelamat menggunakan bot untuk memindahkan penduduk ke kawasan lebih selamat.

Kuil bersejarah itu sebahagiannya ditenggelami air selepas Sungai Ravi melimpah, ketika wilayah Punjab berdepan banjir terburuk dalam tempoh empat dekad.

Menurut pihak Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah (PDMA), lebih 1,600 kampung telah ditenggelami banjir di seluruh wilayah Punjab, menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang maut dan menjejaskan lebih sejuta penduduk.

“Lebih sejuta orang telah dipindahkan minggu ini,” kata pihak berkuasa.

Kejadian banjir itu diburukkan lagi oleh hujan monsun lebat dan pelepasan air dari empangan hulu di India, yang menyebabkan peningkatan paras air Sungai Ravi, Sutlej dan Chenab.

Di beberapa kawasan, benteng sungai dipecahkan untuk mengalihkan aliran air dan mengurangkan kerosakan.

Wilayah Punjab yang merupakan kawasan penempatan terbesar di Pakistan serta pengeluar utama gandum, beras dan kapas, kini berada dalam keadaan paling kritikal, dengan kemusnahan besar kepada sektor pertanian dan kehidupan harian penduduk.- REUTERS

ROSLINA BINTI DIN