BANGKOK, 29 Ogos – Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Jumaat memutuskan pemecatan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra daripada jawatan, atas kesalahan melanggar etika, susulan satu panggilan telefon yang bocor pada Jun lalu.
Keputusan itu sekali gus menamatkan tempoh perkhidmatan Paetongtarn sebagai perdana menteri termuda dalam sejarah moden Thailand, selepas lebih setahun memegang jawatan.
Mahkamah Perlembagaan Thailand dalam penghakimannya memutuskan bahawa tindakan Paetongtarn Shinawatra melanggar etika, menjejaskan kepercayaan awam dan meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan negara.
Paetongtarn 39, sebelum ini digantung tugas sementara oleh mahkamah bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung perbualan tersebut. Beliau didakwa tunduk kepada bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, ketika konflik sempadan antara kedua-dua negara.
Dalam pada itu, Paetongtarn turut membuat permohonan maaf secara terbuka atas insiden tersebut, sambil menegaskan bahawa beliau hanya berniat untuk meredakan pertikaian wilayah antara Thailand dan Kemboja.
Pemecatan Paetongtarn menjadikannya sebagai perdana menteri kelima dalam tempoh 17 tahun yang disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan, sekali gus menyerlahkan peranan utama institusi kehakiman itu dalam perebutan kuasa yang berpanjangan antara kerajaan pilihan rakyat yang dikaitkan dengan puak Shinawatra dan gabungan konservatif serta jeneral diraja yang memiliki pengaruh luas dalam politik Thailand.-REUTERS