fb fb fb fb fb

Orang tengah 'petunjuk terbaharu' dikaitkan dengan ubat batuk buatan India

NEW DELHI, 30 April - Orang tengah yang tidak dinamakan di Mumbai, didakwa menyediakan bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan ubat batuk keluaran India.

Peniaga bahan kimia yang terlibat dalam bekalan ubat batuk itu mendedahkan, individu tersebut dikaitkan dengan kematian lebih 70 orang kanak-kanak di Gambia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran tahap waspada kepada penggunaan ubat batuk buatan pengilang India, Maiden Pharmaceuticals Ltd yang didakwa mengandungi toksin maut etilena glikol dan dietilena glikol.

Kedua-dua bahan itu digunakan dalam cecair brek kereta.

Bahan-bahan tersebut mungkin digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menggantikan propylene glycol, yang merupakan asas utama ubat-ubatan berbentuk sirap.

Hal ini kerana kos bagi bahan-bahan tersebut kurang separuh daripada harga pasaran, seperti yang dilaporkan pada Mac lalu.

(Kelihatan beberapa orang berdiri di luar kawasan Maiden Pharmaceuticals Ltd berpengkalan di India pada 20 Februari lalu/FOTO REUTERS)

Sebahagian besar kanak-kanak yang maut akibat mengambil ubat batuk itu berusia bawah lima tahun dan meninggal dunia akibat dengan kecederaan buah pinggang akut.

Sesetengah daripada mereka meninggal dunia dalam masa beberapa hari setelah mengambil ubat tersebut.

Pengawal selia ubat-ubatan India memberitahu WHO pada Disember lalu bahawa propylene glycol yang digunakan dalam ubat tersebut dihasilkan oleh Goel Pharma Chem, sebuah syarikat farmasi yang berpangkalan di Delhi.

Berdasarkan salinan rekod, bahan tersebut diimport dari pengilang, Korea Selatan, SKC Co Ltd.

"Saya tidak boleh mendedahkan nama pembekal - kami mempunyai rangkaian perniagaan yang perlu dijaga," kata Goel.

Goel juga menambah bahawa syarikatnya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Kementerian Kesihatan India bagaimanapun tidak memberikan respons kepada pertanyaan mengenai kehadiran orang tengah atau tentang mana-mana isu lain yang dibangkitkan.

Ketika diminta mengulas tentang dakwaan terdapat orang tengah dalam rantaian bekalan tersebut, ketua penyiasat WHO menyatakan bahawa siasatan yang dijalankan "menemui jalan buntu" disebabkan kekurangan maklumat daripada pihak berkuasa dan pengeluar ubat-ubatan di India. - REUTERS

Media Baharu