fb fb fb fb fb

Jepun lulus undang-undang pil gugur kandungan buat pertama kalinya

(Misoprostol merupakan pil keguguran yang diluluskan Kerajaan Jepun/FOTO REUTERS)

TOKYO, 30 April - Kerajaan Jepun buat pertama kalinya telah meluluskan undang-undang baharu yang membenarkan pengambilan pil gugur kandungan.

Pengguguran dibenarkan di sisi undang-undang Jepun bagi kandungan yang berusia sembilan sehingga 22 minggu, namun memerlukan persetujuan suami atau pasangan. Sebelum ini, ia hanya boleh dijalankan menerusi prosedur pembedahan.

Kementerian Kesihatan Jepun menyatakan secara rasmi pada Jumaat lalu bahawa ubat yang telah diluluskan adalah keluaran Linepharma, sebuah syarikat farmaseutikal Britain.

Pengilang ubat tersebut memfailkan produk rawatan dua langkah iaitu mifepristone dan misoprostol untuk kelulusan di Jepun pada Disember 2021.

Ubat yang sama turut dijual di beberapa buah negara termasuk Perancis, yang pertama kali meluluskan pil tersebut pada 1988.

Pil serupa itu juga tersedia di Amerika Syarikat sejak tahun 2000.

Agensi berita tempatan NHK melaporkan jumlah kos bagi pil pengguguran itu adalah sekitar AS$700 (RM3,120), termasuk janji temu doktor.

Pengguguran secara pembedahan boleh menelan kos sekitar 100,000 hingga 200,000 yen. (RM3,000 hingga RM6,500.00)

Namun, wanita yang ingin menggugurkan kandungan tidak dilindungi insurans kesihatan awam.

Pada masa ini, pil gugur kandungan itu tidak boleh dibeli sewenang-wenangnya di Jepun tanpa kebenaran doktor malah perlu diambil di hadapan ahli farmasi bagi mengekang pil itu dijual di pasaran gelap.- AFP

(Pil menggugurkan kandungan perlu mendapat keizinan doktor dan ahli farmasi sahaja/FOTO AFP)

Media Baharu