fb fb fb fb fb

Oracle dilapor sertai konsortium kendali TikTok di AS

Foto REUTERS

WASHINGTON, 16 September - Syarikat teknologi Oracle dilaporkan menjadi sebahagian daripada konsortium firma yang akan membolehkan TikTok terus beroperasi di Amerika Syarikat sekiranya perjanjian asas antara Washington dan Beijing dimuktamadkan, lapor CBS News pada Isnin.

Struktur akhir perjanjian itu masih belum dimuktamadkan, namun ia dijangka melibatkan beberapa syarikat.

Setakat ini, White House, Oracle, TikTok dan Kedutaan China di Washington tidak memberikan sebarang maklum balas kepada permintaan komen Reuters.

Pegawai AS dan China berkata sebelum ini mereka telah mencapai persetujuan asas untuk menukar pemilikan TikTok kepada kawalan syarikat berpangkalan di AS.

Perkara itu akan disahkan dalam panggilan telefon antara Presiden Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping pada Jumaat ini.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, selepas bertemu perunding China di Madrid berkata tarikh akhir 17 September yang berpotensi mengganggu operasi TikTok di AS telah mendorong pihak Beijing bersetuju dengan perjanjian awal.

Beliau menambah tarikh itu boleh dilanjutkan sehingga 90 hari bagi memuktamadkan perjanjian, namun enggan mendedahkan butiran lanjut.

Bagaimanapun, sebarang perjanjian melibatkan Oracle mungkin memerlukan kelulusan Kongres yang kini dikuasai Republikan.

Kongres pada 2024 telah meluluskan undang-undang yang mewajibkan ByteDance melepaskan TikTok, berikutan kebimbangan bahawa data pengguna AS boleh diakses kerajaan China untuk tujuan pengintipan atau operasi pengaruh. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD