fb fb fb fb fb

Israel lancar serangan darat gempur Gaza

Foto REUTERS

GAZA, 16 September – Tentera Israel pada Isnin melancarkan serangan darat ke atas Gaza City, bandar terbesar di wilayah itu, lapor Axios yang memetik kenyataan pegawai Israel.

Serangan tersebut menyusul selepas beberapa minggu serangan udara intensif, dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebelum ini mengarahkan tenteranya menawan Gaza City yang dianggap sebagai kubu utama Hamas.

Sejak Oktober 2023, Israel telah mengepung Gaza, mengakibatkan krisis kemanusiaan besar dengan kemusnahan meluas, perpindahan beramai-ramai serta kekurangan makanan dan air bersih.

Tentera Israel telah beroperasi di pinggir bandar itu selama berminggu-minggu, semakin menghampiri kawasan pusat yang sebelum ini menempatkan kira-kira sejuta pelarian Palestin.

“Gaza sedang terbakar. IDF (Pasukan Pertahanan Israel) menyerang dengan tangan besi ke atas infrastruktur pengganas dan askar kami berjuang dengan berani untuk mewujudkan keadaan bagi pembebasan tebusan serta menewaskan Hamas,” kata Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz X, awal Selasa.

Tidak jelas sama ada kenyataan itu merujuk kepada operasi darat yang dilaporkan.


Minggu lalu, Israel turut meluaskan operasi ketenteraan dengan melancarkan serangan udara terhadap pemimpin Hamas yang berpusat di Qatar, sekali gus memperluaskan medan peperangan hingga ke beberapa negara di Asia barat. -REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD