TOKYO, 16 September – Menteri Pertanian Jepun Shinjiro Koizumi dan Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi hari ini mengumumkan pencalonan untuk mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP), bagi menggantikan Perdana Menteri Shigeru Ishiba.
Ishiba meletakkan jawatan awal bulan ini selepas siri kekalahan pilihan raya yang melemahkan parti pemerintah.
Koizumi, anak kepada bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi, berkata beliau telah memaklumkan penyokongnya hujung minggu lalu mengenai hasratnya untuk bertanding.
Menteri Kewangan Katsunobu Kato dijangka mengetuai kempen beliau. Kato, yang mencatat undian terendah dalam pemilihan LDP tahun lalu, menyatakan sokongan kepada Koizumi kali ini bagi tujuan “menyatukan parti.”
Sementara itu, Hayashi, jurucakap utama kerajaan Ishiba, mengisytiharkan pencalonan menerusi X dan dijangka mengadakan sidang media rasmi tengah hari ini.
“Saya berhasrat memimpin pentadbiran baharu yang seimbang antara kestabilan dan pertumbuhan,” tulisnya.
Bekas Menteri Luar Toshimitsu Motegi mendahului dengan mengumumkan pencalonan minggu lalu, disusuli oleh bekas Menteri Keselamatan Ekonomi Takayuki Kobayashi.
Bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Sanae Takaichi, yang menyokong dasar rangsangan fiskal dan pelonggaran kewangan, turut dijangka menyertai saingan sekali gus berpeluang menjadi wanita pertama menerajui Jepun. - REUTERS
Pemilihan kali ini dijangka lebih rumit berikutan LDP dan rakan gabungan Komeito kehilangan majoriti di kedua-dua dewan Parlimen sepanjang pentadbiran Ishiba.