PARIS, 20 Mei - Operasi di Lapangan Terbang Orly, Paris kembali seperti sediakala pada petang Isnin selepas mengalami gangguan teknikal berpanjangan yang menjejaskan jadual penerbangan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut Kementerian Pengangkutan Perancis dan pihak berkuasa penerbangan awam DGAC, operasi telah disambung semula dan keseluruhan jadual penerbangan dijangka kembali seperti biasa menjelang Selasa.
Gangguan bermula pada petang Ahad ekoran kerosakan teknikal pada sistem kawalan memaksa pihak berkuasa mengehadkan pergerakan trafik udara, sekali gus mengurangkan jumlah penerbangan secara ketara.
Susulan itu, sebanyak 40 peratus penerbangan dibatalkan pada Ahad dan 15 peratus lagi pada Isnin, selain kelewatan yang turut dihadapi oleh penumpang. - BERNAMA-dpa