(Anggota Pesuruhjaya Jabatan Polis New York dan kakitangan kecemasan berhampiran stesen kereta api di Brooklyn pada 12 Apr 2022/AFP)
BROOKLYN, 13 April - Satu operasi besar-besaran dijalankan di New York bagi memburu seorang lelaki yang menembak 10 orang di dalam kereta api bawah tanah yang penuh sesak, sebelum melepaskan bom asap dan tembakan ke arah penumpang yang ketakutan.
Polis berkata tanpa sebarang petunjuk motif pada peringkat ini, kejadian di Brooklyn itu tidak disiasat sebagai tindakan keganasan.
Tiada kecederaan yang dianggap mengancam nyawa.
(Pegawai polis meronda stesen kereta api bawah tanah di New York susulan kejadian yang menyaksikan sebilangan penumpang tercedera dan ditembak pada pagi Selasa/AP)
Pesuruhjaya Jabatan Polis New York, Keechant Sewell pula memberitahu sidang media bahawa lelaki yang disyaki bersenjata itu memakai topeng gas sebaik kereta api berkenaan tiba di stesen 36th Street.
"Dia kemudian membuka kanister yang berada di dalam begnya dan kemudian gerabak kereta api dipenuhi asap. Selepas itu dia mula menembak," kata Sewell.
Menurut Jabatan Bomba bandar, tujuh orang cedera ketika penumpang panik melarikan diri dari kereta api yang dipenuhi asap, yang berhenti ke pelantar beberapa saat selepas tembakan.
Sewell menyifatkan suspek sebagai seorang lelaki berkulit hitam, tinggi kira-kira lima kaki lima inci dengan badan yang berat. -AFP