(Foto menunjukkan kemudahan minyak Aramco berhampiran kawasan al-Khurj,
di selatan ibu kota Saudi Riyadh/AFP)
RIYADH, 3 April- Arab Saudi mengetuai pemotongan pengeluaran yang diselaraskan oleh kuasa minyak utama dunia atas alasan menstabilkan pasaran.
Pemotongan oleh Saudi, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Algeria dan Oman dari Mei hingga akhir tahun ini akan berjumlah lebih satu juta tong sehari (bpd).
Ia merupakan pengurangan terbesar sejak kartel OPEC+ mengurangkan dua juta bpd pada Oktober lepas.
Rusia, anggota OPEC+, berkata ia juga melanjutkan pemotongan 500,000 bpd hingga akhir tahun ini yang disifatkan "tindakan yang bertanggungjawab dan pencegahan".
Seorang pegawai kementerian tenaga Saudi "menegaskan bahawa ini adalah langkah berjaga-jaga yang bertujuan untuk menyokong kestabilan pasaran minyak", lapor agensi berita rasmi Saudi Press Agency.
Pemotongan itu didedahkan kepada umum dalam satu siri kenyataan dari negara yang berbeza.
Pengurangan pengeluaran diputuskan Oktober tahun lepas oleh OPEC dan sekutunya termasuk Rusia secara kolektif dikenali sebagai OPEC+ untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak dua juta bpd.
Pengurangan itu, yang terbesar sejak kemuncak wabak COVID-19 pada 2020, berlaku walaupun terdapat kebimbangan ia akan meningkatkan inflasi dan mendorong bank pusat menaikkan lagi kadar faedah.
"Inisiatif sukarela ini adalah langkah berjaga-jaga yang diambil untuk memastikan keseimbangan pasaran," kata Menteri Tenaga UAE Suhail bin Mohammed Al Mazrouei, menurut agensi berita rasmi WAM.
Arab Saudi akan mengurangkan 500,000 bpd, Iraq 211,000, UAE 144,000, Kuwait 128,000, Algeria 48,000 dan Oman 40,000. -AFP
(Pandangan pelantar minyak yang digunakan dalam penggerudian di medan minyak Zubair
di Basra, Iraq/Fail REUTERS)