fb fb fb fb fb

Op Tiris: 156 kes barang kawalan bersubsidi diambil tindakan

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 2 Mei - Sebanyak 156 kes berhubung isu barang kawalan bersubsidi melibatkan nilai rampasan RM4.41 juta diambil tindakan.

Ini setelah 5,371 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara menerusi Op Tiris bermula 1 Mac sehingga semalam.

Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof berkata kes terbaharu melibatkan serbuan ke atas sebuah stor haram yang disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran di Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, serbuan yang dilakukan bersama pihak polis itu membabitkan rampasan bernilai RM3.60 juta.

(Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),
Datuk Azman Mohd Yusof / FOTO FAIL)

"Satu lagi kes adalah rampasan minyak diesel oleh pihak KPDN di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu pada Sabtu lepas dengan nilai rampasan RM51,000.

"KPDN memandang serius isu ketirisan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya yang berlaku di pintu sempadan negara kerana ia memberi impak negatif dan kerugian yang besar kepada negara," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Azman, isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi di sempadan antarabangsa Malaysia dengan Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura merupakan antara perkara utama yang menjadi perhatian pihak kementerian.

Menurutnya, KPDN juga sentiasa mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan di seluruh negara dengan menjalinkan kerjasama erat bersama agensi penguatkuasaan berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen (JIM).

Media Baharu