fb fb fb fb fb

Pelajar UNIMAP parah terjatuh dari tingkat enam asrama Universiti

PADANG BESAR, 2 Mei – Seorang pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) cedera parah selepas terjatuh dari tingkat enam kolej kediaman universiti itu di Sungai Chuchoh, di sini kira-kira pukul 3 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu menerusi talian MERS 999.

(Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata mangsa ketika ditemui
masih dalam keadaan sedar namun tidak boleh bergerak)

“Sebaik menerima panggilan, pegawai penyiasat bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa merupakan seorang pelajar lelaki tempatan berusia 24 tahun.

“Menurut saksi awal yang berada di sekitar tempat kejadian memberitahu, dia terdengar satu bunyi kuat sebelum melihat mangsa terbaring berlumuran darah di atas lantai aras bawah bangunan tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Mohd Shokri, mangsa ketika ditemui masih dalam keadaan sedar, namun tidak boleh bergerak.

“Mangsa kemudiannya telah dibawa ke hospital menaiki ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia lalu dirawat di zon merah Hospital Tengku Fauziah di Kangar dan keadaan mangsa disahkan stabil oleh pihak hospital.

"Saksi lain boleh tampil bagi membantu siasatan dengan cara menghubungi Sarjan Mejar Izham Aziz di talian 017-5387986,” katanya.

Mohd Shokri turut memberi amaran kepada mana-mana individu agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Media Baharu