FOTO AFP
BEIJING, 18 Januari- Bimbang penularan varian Omicron, perkhidmatan pos China mengarahkan pekerjanya melakukan sanitasi ke atas mel dan bungkusan antarabangsa selain turut meminta penduduk mengurangkan pembelian barangan dari negara luar.
Terdahulu, pihak berkuasa China mendakwa mel mungkin menjadi punca penularan semula pandemik COVID-19.
Pada Isnin, China Post mengeluarkan satu kenyataan memerintahkan pekerja untuk melakukan sanitasi terhadap semua mel dan bungkusan antarabangsa secepat mungkin dan mengarahkan pekerja yang mengendalikan surat atau penghantaran barang, diberikan vaksin penggalak.
“orang ramai juga perlu mengurangkan pembelian barang dari negara atau wilayah yang merekodkan kes COVID-19 tinggi. Mel domestik perlu dikendalikan di Kawasan berasingan bagi mengelak pencemaran,” menurut kenyataan itu.
China, negara pertama virus itu muncul pada akhir 2019, ketika ini berusaha melaksanakan polisi sifar kes COVID-19 meskipun banyak negara di dunia mula membuka semula sempadan dan aktiviti ekonomi.
Pihak berkuasa kesihatan kini berusaha menangani beberapa penularan kecil termasuk satu di Beijing tatkala ibu negara itu sibuk membuat persiapan sebagai tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk.
Hari ini, China merekodkan 127 kes positif baharu, ke semuanya jangkitan tempatan. -AFP