fb fb fb fb fb

Nissan rancang lancar perkhidmatan teksi tanpa pemandu April 2027

Foto theverge.com

TOKYO, 28 Februari - Syarikat gergasi automotif Jepun, Nissan merancang untuk melancarkan perkhidmatan teksi tanpa pemandu di negara 'Matahari Terbit' itu bermula pada April 2027, kata syarikat berkenaan pada Rabu.

Jelas syarikat berkenaan, perkhidmatan tersebut bakal dimulakan dengan ujian percubaan perkhidmatan komersial menggunakan mini van di daerah Yokohama, selatan Tokyo April ini.

"Komuniti tempatan menghadapi pelbagai masalah seperti kekurangan pemandu, yang disebabkan oleh populasi penduduk yang semakin menua", kata Nissan dalam satu kenyataan.

Tambah syarikat itu lagi, Nissan merancang untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pengendali pengangkutan dalam usaha untuk "menyediakan jaringan rangkaian perkhidmatan baharu yang lebih luas.

Nissan berkata ia telah "menguji model perniagaan untuk perkhidmatan tanpa pemandu di Jepun dan di luar negara sejak 2017".

Tahun lalu, undang-undang jalan raya di Jepun telah membenarkan kenderaan tanpa pemandu "Tahap 4" beroperasi di jalan awam dalam keadaan tertentu.- AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD