AMSTERDAM, 26 Mei- Penyanyi rap Amerika Nicki Minaj membatalkan persembahan di Manchester, England, selepas dia ditahan oleh polis di Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol atas dakwaan memiliki dadah.
"Walaupun Nicki Minaj berusaha sebaik mungkin untuk menjayakan persembahan malam ini, kejadian hari ini menjadikannya mustahil," kata pengurus tempat Co-op Live di Manchester menerusi satu hantaran di X.
Nicki Minaj, 41, ditahan beberapa jam sebelum persembahan bermula.
Polis tentera Belanda mengesahkan seorang wanita Amerika berusia 41 tahun telah ditahan kerana memiliki dadah ringan pada Sabtu, sambil menambah ia dilarang dibawa keluar dari Belanda.
Polis tidak mengenal pasti suspek, tetapi menerusi satu hantaran di X berkata, wanita itu telah didenda dan dibebaskan sekitar pukul 7.45 malam waktu tempatan.
Ia adalah 45 minit selepas Nicki Minaj sepatutnya memulakan persembahan di Manchester Co-op Live.
Penyanyi itu sebelum ini menyiarkan video di X berikutan seorang pekerja Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol memberitahunya polis mahu "mencari semua bagasinya".
Sementara itu satu lagi video di media sosialnya menunjukkan seorang pegawai polis memaklumkan Minaj "membawa dadah" namun perkara itu dinafikan olehnya.
Bekas juri "American Idol" itu akan membuat persembahan di Ziggo Dome Amsterdam pada Khamis dan dijangka kembali ke sana untuk persembahan lain pada 2 Jun depan.- REUTERS