NEW YORK, 7 Mac- Aplikasi Netflix dan TikTok menyekat semua perkhidmatannya di Rusia sejak semalam.
Ini susulan selepas kerajaan negara itu bertindak menghalang orang ramai dan pihak media menyebarkan berita mengenai perang di Ukraine.
Menurut jurucakap TikTok, Hilary McQuaide pengguna di Rusia kini tidak dapat memuat naik video atau siaran langsung, bahkan tidak dapat menonton video yang dimuat naik pengguna seluruh dunia.
"Berikutan undang-undang berita palsu yang baru diperkenalkan di Rusia, kami terpaksa menggantungkan perkhidmatan muat naik video atau siaran langsung sementara meneliti kesan keselamatan daripada undang-undang ini,
"Bagaimanapun, perkhidmatan mesej dalam aplikasi kami tidak terkesan," jelas TikTok dalam satu kenyataan di Twitter, semalam.
(Gambar Hiasan)
McQuaide juga berkata, pengguna aplikasi itu di Rusia hanya boleh menggunakannya dalam mod paparan dan tidak lagi boleh melayari video baharu yang dimuat naik dari negara lain.
Ini demi menjaga kesalamatan kakitangan dan pengguna daripada hukuman jenayah.
Dalam pada itu, Netflix turut memaklumkan penggantungan perkhidmatannya di Rusia, namun tidak memberikan perincian lanjut.
Ia dipercayai untuk memulaukan Russia selepas semakin banyak syarikat multinasional menghentikan perkhidmatan kewangan penting dan produk teknologi.
Ini susulan tindakan Barat melaksanakan sekatan ekonomi dan kemarahan global terhadap pencerobohan di Ukraine.
Jumaat lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin meningkatkan tindakan terhadap pihak media dan individu yang tidak sependapat dengan Kremlin mengenai perang itu, dengan menyekat Facebook dan Twitter.
Russia turut meluluskan undang-undang yang menjadikan penyebaran maklumat palsu mengenai perang di Ukraine, sebagai suatu bentuk jenayah.
Undang-undang baharu itu, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun terhadap pihak yang menyebarkan maklumat yang bertentangan dengan naratif kerajaan Rusia berhubung perang berkenaan. -AP