(Seorang wanita memindahkan kalungan bunga di Rumah Mayat Awam Fu Shan di Hong Kong ketika bandar itu sedang dilanda wabak COVID-19 yang paling teruk dan telah menyaksikan limpahan mayat di hospital dan rumah mayat)- AFP
HONG KONG, 7 Mac- Angka kematian global rasmi akibat COVID-19 hampir mencecah enam juta, menjadikan kini wabak itu memasuki tahun ketiga malah masih jauh dari berakhir.
Angka itu adalah peringatan tragis terkini tentang sifat wabak yang tidak akan berhenti walaupun banyak negara di seluruh dunia telah menunjukkan angka kematian menurun, atau membuka semula ekonomi mereka dan belajar untuk hidup dengan virus itu.
Namun, berbeza pula kes di Hong Kong, yang mana jumlah kematian semakin meningkat.
Pihak berkuasa Hong Kong sedang menguji keseluruhan populasi 7.5 juta tiga kali bulan ini, kerana mereka berpegang teguh pada strategi "sifar COVID" China.
Wilayah itu sedang bergelut untuk menempatkan mayat yang semakin bertimbun di rumah mayat dan hospital.
Mayat-mayat bukan semuanya kes COVID-19, tetapi masalah mencari lokasi untuk menempatkannya adalah akibat daripada sistem kesihatan yang terbeban yang terpaksa mengikut dasar "sifar COVID".
Apabila kes COVID-19 pertama kali muncul dua tahun lalu di China, pekerja perubatan Hong Kong meminta kerajaan menutup sempadan yang memisahkan bandar itu dari tanah besar China, yang mempunyai peraturan kastam dan imigresen yang berasingan.
Pada awal kerajaan Hong Kong tidak melayan permintaan tersebut namun beberapa minggu kemudian, peraturan sempadan dan kuarantin yang ketat bermula.
Selama beberapa bulan, Hong Kong terlepas daripada wabak yang paling teruk.
Tetapi varian omicron di Hong Kong, yang dipanggil "gelombang kelima" COVID-19, telah menghancurkan rasa selamat bandar itu.
Pesakit warga emas telah ditinggalkan di atas katil di tempat letak kereta hospital, manakala pekerja perubatan berjuang untuk menangani pesakit.
Hong Kong telah cuba mencapai "sifar COVID" atau "jangkitan sifar dinamik", menurut Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam.
Oleh itu, usaha besar terus ditumpukan kepada dasar yang direka untuk membasmi COVID-19, sementara ia merebak dengan pantas dalam komuniti.
Birokrat dan profesional perubatan dijangka dapat menangani setiap kes COVID-19, walaupun kebanyakan kes adalah ringan.
Pegawai Jabatan Kesihatan telah mengakui masalah itu, termasuk kesukaran mengendalikan mayat, dan berkata bekas peti sejuk menyediakan ruang tambahan untuk mayat di hospital.
Sebilangan besar kes COVID-19 yang maut di Hong Kong telah berada dalam gelombang kelima, yang bermula pada Disember 2021, hanya lebih dua bulan lalu.
Angka kematian sejak gelombang kelima bermula kini ialah 1,561 orang, kata kerajaan Hong Kong Ahad.-AFP
(Pekerja memindahkan mayat dari bekas peti sejuk ke van jenazah di Rumah Mayat Awam Fu Shan)- AFP