fb fb fb fb fb

Nepal keluarkan amaran larangan import, jualan jenama rempah dari India atas faktor keselamatan

Nepal telah mengeluarkan amaran larangan import dan penjualan dua jenama rempah dari India yang popular, Everest dan MDH selepas terdapat laporan bahawa beberapa produk mereka mengandungi racun perosak yang menyebabkan kanser / Foto Reuters

KATHMANDU, 18 Mei - Nepal telah mengeluarkan amaran larangan import dan penjualan dua jenama rempah dari India yang popular, Everest dan MDH selepas terdapat laporan bahawa beberapa produk mereka mengandungi racun perosak yang menyebabkan kanser.

Hong Kong dan Singapura bulan lalu telah mengeluarkan amaran larangan yang sama terhadap dua jenama popular itu yang dieksport ke seluruh dunia selepas ujian mengesan kehadiran etilena oksida.

Selain penggunaannya sebagai racun perosak, etilena oksida digunakan untuk mensterilkan peralatan perubatan dan juga sebagai agen pensterilan dalam rempah-rempah untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh salmonella dan bakteria E. Coli.

Pendedahan yang kerap kepada sebatian tidak berwarna dan tidak berbau meningkatkan "risiko kanser sel darah putih", menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (AS).

Matina Joshi Vaidya, ketua Jabatan Teknologi Makanan dan Kawalan Kualiti Nepal memaklumkan negara Himalaya itu juga telah memutuskan untuk menghentikan penjualan campuran rempah tersebut.

"Ia adalah isu kesihatan orang ramai," katanya.

Nepal telah melarang kemasukan empat produk ke negara itu, tiga varian yang dihasilkan oleh MDH dan satu oleh Everest.

"Kami tidak mempunyai sumber makmal untuk menjalankan ujian di negara ini. Larangan akan ditarik balik apabila pihak berkuasa India mengisytiharkannya selamat," kata Vaidya.

Everest dan MDH ialah dua jenama rempah ratus paling popular dengan penguasaan pasaran masing-masing sebanyak 16 dan 10 peratus pada 2022, menurut pemantau penyelidikan pengguna, Statista.

Kedua-dua syarikat itu sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan menafikan produk mereka menimbulkan bahaya kesihatan kepada pengguna selepas larangan import dikeluarkan Singapura dan Hong Kong.

"Kami menjelaskan dan menyatakan dengan tegas bahawa dakwaan ini adalah tidak benar dan tidak mempunyai sebarang bukti yang kukuh," kata MDH bulan lepas di platform media sosial X.

Agensi pengawalseliaan makanan India telah meminta pihak berkuasa negeri untuk menjalankan ujian rawak terhadap semua produk rempah negara itu.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN