MUMBAI, 18 Mei - Polis India telah menahan pemilik papan iklan gergasi yang runtuh di sebuah stesen minyak dan mengorbankan 16 orang di ibu kota Mumbai.
Media tempatan melaporkan, seramai 75 orang lagi telah diselamatkan dari bawah serpihan yang jatuh ketika hujan lebat dan ribut yang melanda bandar berkenaan Isnin lalu.
Polis telah membuka kes siasatan pembunuhan terhadap pemilik papan iklan itu, Bhavesh Bhinde yang melarikan diri dari Mumbai selepas kejadian tersebut.
Bagaimanapun, dia telah ditahan pada Khamis di bandar pelancongan Udaipur.
"Bhinde telah ditahan di Udaipur, di mana dia tinggal di sebuah hotel di bawah nama saudaranya," kata Pesuruhjaya Polis, Lakhmi Gautam kepada media tempatan The Indian Express.
"Pasukan kami telah berusaha untuk menjejakinya dan akhirnya menemuinya pada petang Khamis."
Ketua Menteri Negeri Maharashtra, Eknath Shinde awal minggu ini telah mengarahkan audit dilakukan ke atas semua papan iklan di Mumbai untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang di tempat lain.-AFP