VILNIUS, 8 Februari - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sedang berusaha untuk meningkatkan kehadiran tenteranya di negara Baltik dan Poland sekiranya Rusia mengekalkan tenteranya di Belarus selepas selesai latihan ketenteraan mereka, kata ketua jawatankuasa tentera NATO hari ini.
NATO menjelaskan, Rusia mempunyai 30,000 tentera di sempadan utara Ukraine untuk latihan ketenteraan bersama bulan ini.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kerahan tentera Rusia di sempadan Ukraine itu meningkat lebih 100,000 anggota.
Amerika Syarikat (AS) menghantar 3,000 tentera ke Romania dan Poland minggu lalu untuk menyakinkan Ukraine, sementara Jerman sedang mempertimbang penambahan jumlah penempatan tentera sedia ada di Lithuania.
Seorang laksamana Belanda yang mengetuai badan strategi utama NATO, Rob Bauer menjangkakan kemungkinan kerahan lebih ramai anggota daripada sekutu NATO.
"Di mana kita mempunyai tentera perikatan secara berterusan di negara yang berbeza. Perbincangan ke arah itu menjadi perkara yang sedang berjalan sekarang.
"Ya, kita sedang melihatnya. Mungkin ada perubahan pada masa depan kesan daripada perkembangan ini," katanya dalam sidang media di sini.
"Ia sudah tentu sangat bergantung, sama ada tentera Rusia di Belarus kekal di Belarus atau tidak," katanya.
Moscow menjelaskan tidak pernah merancang pencerobohan ke atas Ukraine, namun boleh mengambil tindakan ketenteraan jika tuntutan keselamatannya tidak dipenuhi, termasuk janji bahawa NATO tidak akan sekali-kali menerima Kyiv sebagai anggota baharu.
Bauer berkata, jika melihat kepada anggota tenteranya, Rusia sebenarnya mempunyai pasukan mencukupi untuk melakukan pencerobohan serius menjelang akhir bulan ini.
"Sama ada mereka akan melakukan itu, mempunyai niat sebenar atau tidak, kita tidak tahu," katanya.
Katanya, penempatan terbaharu di sempadan Belarus dilihat termasuk hospital medan dan unit bantuan lain yang diperlukan untuk menyokong serangan tentera.
"Jika kamu benar-benar mempertimbangkan pencerobohan, kamu sebenarnya memerlukan lebih daripada anggota pejuang.
"Itu sesuatu yang kita sedang lihat, semakin ramai berkumpul di sepanjang kedua-dua sempadan Ukraine dan Belarus. Itu sangat membimbangkan," katanya. -REUTERS.