WASHINGTON, 20 Disember - Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS), NASA, terputus hubungan dengan pengorbit Mars, MAVEN, dan usaha kini sedang giat dijalankan untuk memulihkan semula talian komunikasi.
Jurucakap NASA memberitahu agensi berita Jerman (dpa) bahawa tiada data tetap diterima daripada pengorbit itu sejak kira-kira dua minggu lepas.
Pada Isnin, NASA memaklumkan bahawa "cebisan singkat data pengesanan" dari awal bulan ini menunjukkan bahawa kuar berkenaan berkemungkinan "berpusing dalam keadaan yang tidak dijangka."
Dilancarkan pada penghujung 2013, MAVEN telah mengorbit planet Marikh selama kira-kira 10 tahun dan membekalkan data penyelidikan yang penting, terutamanya mengenai atmosfera planet itu.
Selain MAVEN, NASA turut mengendalikan kuar Mars Odyssey dan Mars Reconnaissance Orbiter, serta perayau Curiosity dan Perseverance yang kini berada di permukaan planet merah itu.- BERNAMA-dpa