MEXICO CITY, 24 April - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) berharap agar masyarakat dunia dapat bekerjasama erat terutamanya berkaitan isu perubahan iklim termasuk pelepasan gas rumah hijau, kata ketua agensi berkenaan, Bill Nelson.
Tambah Nelson, penyelesaian bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang dikatakan memanaskan bumi dengan cepat dan memacu krisis iklim sudah wujud, namun memerlukan perubahan pada skala dan kadar yang baharu.
"Terdapat beberapa perkara yang dunia mampu bekerjasama bersama-sama kerana mempunyai maklumat yang cukup", kata Nelson di sini.
Ketika ditanya tentang bagaimana untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, Nelson berkata perkara paling penting adalah untuk terus bertindak.
Menurut Nelson, satelit telah muncul sebagai alat yang berkuasa buat para saintis di seluruh dunia bagi mengkaji perubahan iklim.
Katanya, satelit juga digunakan bagi mengkaji kewujudan kepada pelepasan gas rumah hijau yang melibatkan kebocoran gas methane atau aktiviti-aktiviti yang tidak dapat dikesan.
Gas Methane merupakan komponen gas semulajadi, iaitu gas kedua terbesar yang menyumbang kepada pemasan global selepas karbon dioksida.
Para saintis kini mampu menyasarkan kewujudan sebahagian kebocoran besar gas methane menggunakan data yang diperolehi menggunakan satelit.
Gas methane adalah pemacu pemanasan global yang lebih kuat dalam jangka pendek daripada karbon dioksida kerana ia memerangkap lebih banyak haba di atmosfera, tan demi tan.
"Kebimbangan yang kami ada adalah global," kata Timbalan Pentadbir NASA Pam Melroy.
"Adalah sangat penting untuk menyedari bahawa tiada mana-mana negara boleh menyelesaikan masalah itu sahaja", katanya.
Terdahulu, Nelson dan Melroy, yang kedua-duanya adalah angkasawan, bertemu dengan Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador dan penggubal undang-undang untuk membincangkan bagaimana negara berkenaan boleh bekerjasama dalam isu perubahan iklim dan pelepasan gas rumah hijau.-REUTERS