LUSAKA, 5 Februari- Namibia melantik bekas naib presiden Nangolo Mbumba sebagai ketua negara yang keempat, beberapa jam selepas Hage Geingob meninggal dunia pada usia 82 tahun.
Angkat sumpah berlangsung di ibu negara Windhoek disertai bekas timbalan perdana menteri dan menteri hubungan antarabangsa dan kerjasama, Netumbo Nandi-Ndaitwah yang kini dilantik sebagai naib presiden negara itu, lapor Agensi Anadolu.
“Negara kita kekal aman dan stabil kerana kepimpinan Presiden Geingob. Saya menerima amanah ini dengan sedar akan tanggungjawab yang besar,” kata Mbumba ketika mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Negara Peter Shivute semasa upacara ringkas di State House.
Mbumba, 82, akan berkhidmat sehingga pilihan raya akan datang yang dijadual pada November tahun ini.- BERNAMA-ANADOLU