fb fb fb fb fb

Lima maut, kilang mercun meletup di Filipina

FOTO REUTERS

LAGUNA, 5 Februari- Lima orang terbunuh dan tiga lagi cedera parah apabila sebuah kilang mercun meletup di Filipina, baru-baru ini.

Situasi panik tercetus dalam kalangan penduduk susulan beberapa letupan kuat di bangunan milik syarikat Diamond Fireworks Inc. dekat Cabuyao City, wilayah sini pada Khamis lalu.

Kamera litar tertutup (CCTV) merakam detik-detik sejurus sebelum letupan maut itu yang menunjukkan seorang budak lelaki, 12, berjalan berhampiran kilang sambil membawa dua jag air.

Dia mengerling ke arah kilang kemudian menjatuhkan jag terbabit dan berlari pecut apabila letupan kuat memusnahkan kawasan itu hanya beberapa saat kemudian.

Polis berkata, lima terkorban melibatkan empat pekerja dan seorang kana-kanak lelaki berusia lima tahun, manakala tiga yang parah sedang dirawat di hospital.

Kejadian itu turut merosakkan 11 rumah yang terletak berhampiran kilang terbabit.

Jelas polis, pihaknya kini sedang menyiasat laporan bahawa terdapat pekerja dilihat merokok berhampiran bangunan itu.

Penduduk tempatan pula mendakwa ia bukan kali pertama kilang tersebut meletup dan rayuan sudah dibuat beberapa kali supaya ia ditutup susulan kebakaran kilang terbabit pada tahun 2016.

Namun, aduan mereka tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.

Datuk Bandar, Dennis Hain berkata, kilang itu tidak mempunyai permit sah untuk memproses mercun atau bunga api.

Pegawai Penerangan City Cabuyao, Aris Mane berkata, pihak berkuasa kini melihat daripada semua sudut untuk mencari punca letupan.

Beliau menambah, kerajaan tempatan akan menanggung perbelanjaan perubatan dan pengebumian mangsa. -Reuters

0502 BD FILIPINA KILANG MERCUN MELETUP 2
FOTO REUTERS

SITI AISHAH BINTI MD ISA