fb fb fb fb fb

Naib Presiden AS Harris gesa Israel lindungi penduduk Gaza

Duta Besar A.S. ke Emiriah Arab Bersatu Martina Strong dan Menteri Negara bagi Teknologi Maju Emiriah Arab Bersatu Sarah bint Yousef Al Amiri menyambut ketibaan Naib Presiden AS Kamala Harris yang menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28) di Dubai/FOTO REUTERS

GAZA/KAHERAH, 3 Disember – Sewaktu tentera Israel terus mengepung Gaza selepas tamat gencatan senjata sementara, Naib Presiden AS, Kamala Harris, mendedahkan terlalu ramai rakyat Palestin yang tidak bersalah terbunuh di wilayah berkenaan.

Bercakap di Dubai, Harris berkata Israel harus menghormati undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan meskipun Israel mendakwa mereka mempunyai hak untuk mempertahankan diri.

"Terlalu ramai rakyat Palestin yang tidak bersalah telah dibunuh.

"Terus terang, skala penderitaan orang awam, dan imej dan video dari Gaza, amat dahsyat," kata Harris kepada wartawan.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 193 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata selama seminggu yang berakhir pada Jumaat.

Ini sekali gus menyaksikan angka korban rakyat Palestin mencecah 15,000 nyawa sejak bermulanya konflik perang Israel-Palestin pada 7 Oktober lalu.

Sementara itu, memetik laporan Agensi Berita Palestin (WAFA), pesawat pejuang Israel melakukan beberapa siri pengeboman ke atas kediaman di Khan Yunis di selatan Gaza.

Serangan tanpa henti rejim Zionis Israel mengakibatkan kematian dan kecederaan berpuluh-puluh orang awam.

Tentera Israel turut memaksa penduduk di bandar Khan Yunis mengosongkan rumah mereka, sekali gus meningkatkan jumlah penduduk yang hilang tempat tinggal.

Israel meneruskan serangannya ke atas Semenanjung Gaza pada 7 pagi Jumaat hanya beberapa minit selepas berakhirnya gencatan senjata selama tujuh hari yang dipersetujui oleh Mesir, Qatar dan AS - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN