ISTANBUL, 12 November - Turkiye mengesahkan kesemua 20 individu yang berada dalam pesawat kargo tentera C-130 yang terhempas di Georgia, terkorban.
Kementerian Pertahanan menerusi kenyataan memaklumkan kesemua yang terkorban itu termasuk kru.
Gambar kesemua mangsa korban dikongsi Menteri Pertahanan, Yasar Guler menerusi muat naik di platform X.
Pihak berkuasa Turkiye juga memaklumkan, punca insiden masih dalam siasatan.
Pesawat berkenaan, dilaporkan terhempas di Sighnaghi iaitu kira-kira lima kilometer dari sempadan Azerbaijan.
Pusat kawalan trafik udara Georgia memaklumkan pesawat itu hilang daripada radar selepas memasuki ruang udaranya “tanpa menghantar isyarat kecemasan”.-AFP