fb fb fb fb fb

Myanmar setuju pelarian Rohingya dihantar pulang ke Rakhine

DHAKA, 21 Oktober- Bangladesh memaklumkan pihak berkuasa Myanmar bersetuju agar pelarian Rohingya yang berada di negara ini dihantar pulang di bawah perjanjian dua hala yang ditandatangani pada November 2017.

“Berita baiknya adalah kerajaan Myanmar sekarang bersetuju agar warga Rohingya dihantar pulang, manakala kemudahan di negeri Rakhine sedang dibangunkan,” Menteri Luar AK Abdul Momen berkata dalam sidang media, di sini.

Beliau menyatakan, kerajaan Myanmar juga akan berusaha ‘memudahkan proses penghantaran semua pelarian Rohingya’.

Menteri Bangladesh itu memberi taklimat kepada media sejurus selepas mengadakan pertemuan dengan utusan China ke Dhaka, Li Jiming.

Namun, beliau mengkritik pihak berkuasa Myanmar yang masih menuntut dokumen pengenalan diri Rohingya.

“Apabila Rohingya melarikan diri dari Rakhine, keadaan sangat berbahaya dan mereka datang ke Bangladesh sehelai sepinggang.

“Bagaimana mereka boleh menyediakan dokumen untuk membuktikan identiti mereka sebagai warga Myanmar?” soalnya.

Seorang buruh mengangkut tong plastik di sepanjang jalan yang sibuk di sini / FOTO AFP

Beliau berkata dua proses penghantaran pulang sebelum ini gagal kerana Rohingya tidak yakin dengan pihak berkuasa Myanmar.

"Jadi, kali ini kami mahu melakukan sesuatu yang mampan," katanya.

Bangladesh kini menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta pelarian Rohingya yang berada di khemah sementara di daerah sempadan selatan Cox's Bazar. -AFP

Media Baharu