(Foto AFP)
NAYPIDAW, 18 ogos- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu "mengkaji semula pendekatannya" untuk menyelesaikan krisis berdarah Myanmar selepas rampasan kuasa, kata Menteri Luar Junta kepada Utusan Khas badan dunia itu semasa lawatan pertamanya ke negara itu pada Rabu.
Myanmar telah dilanda kegawatan sejak tentera merampas kuasa pada Februari tahun lalu, menyebabkan penentangan dan keganasan di seluruh pelusuk negara.
Usaha diplomatik untuk menyelesaikan krisis yang diketuai oleh PBB dan blok serantau ASEAN telah mencapai sedikit kemajuan, apabila jeneral enggan terlibat dengan pihak lawan.
"Dalam pertemuannya dengan utusan PBB, Noeleen Heyzer pada hari Rabu, Menteri Hal Ehwal Luar Junta menyeru badan dunia itu untuk "secara konstruktif dan pragmatik mengkaji semula pendekatannya dalam kerjasama dengan Myanmar", kata kementerian tersebut.
Heyzer juga bertemu dengan ketua junta, Min Aung Hlaing dan menggesa agar keganasan dihentikan serta-merta dan pembebasan semua tahanan politik, kata pejabatnya menerusi satu kenyataan.
(Noeleen Heyzer bertemu dengan Min Aung Hlaing di Naypidaw/AFP)
Beliau juga meminta untuk bertemu dengan pemimpin awam yang digulingkan Aung San Suu Kyi, yang telah ditahan sejak rampasan kuasa tentera dan dan dijatuhi satu lagi hukuman penjara pada hari Isnin di mahkamah rahsia junta.
Sementara itu, menurut Kumpulan hak asasi tempatan, lebih 2,200 orang terbunuh dan lebih 15,000 ditangkap dalam tindakan keras tentera terhadap kumpulan yang bertentangan pendapat sejak Februari lalu.
Suu Kyi berdepan penjara 10 tahun jika disabitkan dengan tuduhan di mahkamah junta.
Junta yang dikenakan sekatan barat, sebelum ini menuduh PBB campur tangan dalam hal ehwal dalamannya.
Bulan lalu junta mencetuskan kecaman antarabangsa apabila melaksanakan hukuman mati, terhadap Phyo Zeya Thaw, bekas ahli parlimen dari parti Liga Demokrasi Kebangsaan Suu Kyi, atas kesalahan di bawah undang-undang antikeganasan.-AFP