fb fb fb fb fb

Banjir di New Zealand, tiga wilayah diisytihar darurat

(Jalan raya dipenuhi lumpur selepas tebing sungai Maitai pecah. Insiden banjir buruk itu
menyebabkan tiga wilayah di New Zealand, diisytiharkan darurat/AFP)

WELLINGTON 18 Ogos- Beratus-ratus keluarga di kepulauan selatan New Zealand terpaksa meninggalkan kediaman akibat banjir. Tiga wilayah di Nelson turut diisytiharkan darurat.

Ribut tropika dengan hujan lebih daripada 30 sentimeter di bahagian Pulau Selatan, menyebabkan tebing sungai pecah dan arus deras di sungai utama Maitai. Kejadian itu turut menyebabkan pokok tumbang serta telah menghalang laluan utama.

Datuk Bandar Nelson, Rachel Reese menyifatkan kejadian itu sebagai bencana terburuk dalam tempoh 100 tahun, ketika pasukan mencari dan menyelamat, serta anggota tentera, membantu orang ramai yang hampir tenggelam di jalan.

Beliau memberi amaran kepada penduduk tempatan bahawa kemudahan air tercemar kerana beberapa pembetungan musnah.

Penduduk Nelson, Sam Lagrutta berkata, keadaan itu "menakutkan" selepas polis memberi masa hanya lima minit untuk meninggalkan rumahnya.

"Saya betul-betul mengambil beg tangan dan mengisinya dengan pasport, dompet dan apa sahaja yang penting yang saya temui," katanya kepada New Zealand Herald.

Sebanyak 160 penduduk di sepanjang pantai barat Pulau Selatan juga diminta berpindah.


(Anggota kecemasan melaksanakan operasi
di Sungai Maitai yang melimpah di Nelson/AFP)

Buller telah berulang kali dilanda banjir dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Datuk Bandar, Jamie Cleine berkata pemindahan yang kerap menyebabkan masyarakat sudah bersiap sedia untuk menghadapi kesan yang lebih buruk akibat bencana itu.

"Ia amat merisaukan orang dari segi kewangan dan mental. Ini adalah realiti yang dihadapi sehingga penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan," katanya kepada berita Stuff.

Menteri Pengurusan Kecemasan, Kieran McAnulty melawat Nelson pada hari Khamis, menjanjikan bantuan kewangan kepada bandar yang dilanda banjir.

"Cuaca ekstrem telah menyebabkan kerosakan yang besar dan sangat mengganggu," katanya kepada pemberita.

"Walaupun masih terlalu awal untuk mengetahui kos penuh kerosakan, sumbangan awal $200,000 (AS$125,460) ini akan membantu... mendapatkan sokongan segera kepada mereka yang memerlukannya."

Pulau utara juga terjejas dengan keadaan angin berkelajuan 120 km sejam serta tiga orang cedera dalam kemalangan kereta di Northland selepas pokok tumbang di Lebuhraya Negeri 1. Julai lalu, New Zealand merekodkan cuaca paling lembap dan berterusan sehingga hujung minggu.

Syarikat insurans terbesar New Zealand IAG memberi amaran pembinaan bangunan di kawasan yang terdedah kepada banjir mesti dihentikan.

Perubahan iklim memberi impak yang besar kepada sektor insurans New Zealand. Sepuluh banjir besar dalam tempoh dua tahun lalu telah menyebabkan jumlah kerugian sekitar $400 juta, kata IAG.

Kira-kira satu peratus rumah bersamaan 20,000 hartanah di negara itu berisiko dilanda banjir. - AFP

Media Baharu