fb fb fb fb fb

Empat terbunuh dalam serangan di wilayah Kharkiv

(Sebuah pusat beli belah musnah di Bucha, wilayah Kiev/AFP)

KIEV, 18 Ogos- Empat terbunuh dan puluhan yang lain cedera dalam insiden pengeboman terbaharu yang menyasarkan wilayah Kharkiv.

Peluru berpandu yang dilancar tentera penceroboh turut memusnahkan sebahagian bangunan asrama empat tingkat di daerah selatan, Slobidskyi.

Menurut Ketua Wilayah Kharkiv, Oleg Synegubov, serangan berlaku pada awal pagi, beberapa jam sebelum pertemuan pemimpin Turki Recep Tayyip Erdogan dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Bandar kedua terbesar di Ukraine, Kharkiv telah mengalami serangan berterusan oleh Rusia sejak Moscow melancarkan pencerobohan besar-besaran pada akhir Februari lalu.

Oleg Synegubov berkata tentera Moscow telah melancarkan lapan peluru berpandu dari wilayah Rusia pada kira-kira 0430 waktu tempatan (0130 GMT) menyerang daerah barat dan utara bandar itu.

(Pusat beli-belah yang musnah di Bucha, wilayah Kiev
akibat  pencerobohan Rusia ke atas Ukraine/AFP)

Petugas media di lokasi kejadian mendakwa melihat mayat dalam beberapa bangunan yang terbakar dan serpihan kenderaan musnah yang bertaburan.

Serangan peluru berpandu Rusia di bandar Krasnograd sekitar 100 kilometer (62 batu) selatan barat Kharkiv telah memusnahkan beberapa bangunan kediaman, selain menyebabkan dua orang awam maut dan dua cedera, termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.

Tentera Rusia pada mulanya cuba menawan Kharkiv pada awal serangan mereka ke atas Ukraine. Bagaimanapun, telah ditolak dan membedil banyak kediaman di daerah utara bandar itu.

Moscow mendakwa Ukraine menyimpan peralatan ketenteraan berhampiran infrastruktur awam, dakwaan yang dinafikan Ukraine.

Pemimpin Turki dan Guterres menjadi perantara perjanjian eksport bijirin antara Moscow dan Kiev, bagi membenarkan bijirin dieksport dari pelabuhan Laut Hitam yang disekat di Ukraine.-AFP

Media Baharu