fb fb fb fb fb

16 maut dalam banjir kilat di kawasan pergunungan wilayah barat laut China

(Pasukan penyelamat membersihkan serpihan selepas banjir melanda barat laut China/AFP)

BEIJING, 18 Ogos- Enam belas orang terbunuh dan ramai dilaporkan hilang dalam banjir kilat di barat laut China, lapor media kerajaan, ketika negara itu menghadapi cuaca ekstrem yang menyebabkan kilang ditutup dan bekalan elektrik terputus.

Banjir berlaku ketika musim panas dengan suhu yang meningkat dan hujan lebat.

Beberapa bandar mencatatkan rekod suhu tertinggi dan banjir dengan kerosakan bernilai ratusan juta dolar.

Banjir yang melanda minggu ini di kawasan pergunungan di daerah Datong di wilayah Qinghai, menjejaskan lebih 6,200 orang dari enam kampung, lapor penyiar CCTV negeri.

Visual yang dipapar menunjukkan jalan raya dilitupi lumpur, pokok tumbang, rumah rosak dan pekerja penyelamat sedang membawa penyodok.

 (Jalan rosak selepas banjir kilat yang disebabkan oleh hujan lebat secara tiba-tiba
mencetuskan tanah runtuh di daerah Datong, bandar Xining/AFP)

"Sehingga tengah hari, 16 orang telah terbunuh," tambah CCTV, mengatakan bahawa kerja menyelamat sedang dijalankan.

Sekurang-kurangnya 18 orang hilang dan 20 telah diselamatkan, dan "ibu pejabat barisan hadapan" telah ditubuhkan untuk mengatur respons kecemasan.

"Kerja menyelamat sedang berjalan dengan teratur," kata laporan itu, sambil menambah hujan lebat secara tiba-tiba pada Rabu malam telah mencetuskan banjir kilat.

Para saintis berkata cuaca ekstrem di seluruh dunia telah menjadi lebih kerap disebabkan perubahan iklim, dan berkemungkinan menjadi lebih terik apabila suhu meningkat.

Banjir teruk di selatan China pada Jun menyebabkan lebih setengah juta orang kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan kerugian dianggarkan AS$250 juta. -AFP

Media Baharu