KADUNA, 18 Ogos – Petugas kesihatan di Negeri Kaduna, Nigeria, memulakan kempen vaksin Mpox bagi membendung penularan virus tersebut di salah satu kawasan paling terjejas di negara itu.
Kempen vaksinasi ini menyasarkan kumpulan berisiko tinggi termasuk petugas kesihatan, individu dengan sistem imun lemah serta penduduk terjejas.
Inisiatif ini dilancarkan selepas beberapa kawasan di Kaduna merekodkan peningkatan ketara kes Mpox, sekali gus mendorong pihak berkuasa melaksanakan intervensi di tujuh komuniti berisiko tinggi.
Di pusat vaksinasi, penduduk terpaksa menunggu lama untuk menerima suntikan vaksin, dengan ramai menyatakan rasa lega kerana mendapat perlindungan terhadap penyakit tersebut.
Bagaimanapun, pegawai kesihatan mengakui menghadapi cabaran dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan vaksinasi dalam kalangan komuniti setempat.
“Sebahagian daripada mereka tidak mengetahui tentang penyakit ini dan bahayanya. Itu antara masalah kami, jadi kami sentiasa melakukan mobilisasi supaya mereka faham,” kata Pegawai Pemantauan dan Pemberitahuan Penyakit, Sa'adatu Suleiman.
Suntukan vaksin Mpox diberikan secara dua dos, dengan fasa pertama berlangsung selama sepuluh hari dan dos kedua dijadualkan empat minggu selepas itu. Kempen di Kaduna ini adalah sebahagian daripada strategi nasional yang lebih luas untuk mengawal wabak dan mengelakkan penularan yang lebih meluas. - REUTERS