fb fb fb fb fb

China, India perkukuh hubungan dua hala

Menteri Luar China, Wang Yi/Foto AFP

BEIJING, 19 Ogos - China dan India bersetuju untuk mengekalkan momentum positif dalam hubungan dua hala. Perkara itu dicapai hasil pertemuan antara Menteri Luar China, Wang Yi, dan rakan sejawatannya dari India, Subrahmanyam Jaishankar, pada Isnin.

Menurut Wang, dunia kini berdepan perubahan pesat, cabaran terhadap perdagangan bebas dan ketidaktentuan dalam sistem antarabangsa.

Sehubungan itu, sebagai dua negara membangun terbesar dengan populasi melebihi 2.8 bilion, kedua-dua negara digesa menunjukkan tanggungjawab global serta menjadi contoh kepada negara membangun dalam memperjuangkan dunia multipolar dan hubungan antarabangsa yang lebih demokratik.

"Hubungan dua hala menunjukkan tanda-tanda pemulihan melalui pelaksanaan konsensus pemimpin, penyambungan semula dialog pelbagai peringkat, serta kembalinya warga India melakukan upacara keagamaan di Tibet.

"Tahun ini menandakan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, dan kedua-dua pihak perlu menilai semula persepsi strategik, saling melihat sebagai rakan dan peluang, bukan ancaman," kata Wang.

Beliau turut menyatakan komitmen China untuk bekerjasama dengan negara jiran termasuk India, atas prinsip keikhlasan dan saling menguntungkan.

Sementara itu, Jaishankar menyambut baik peningkatan hubungan dua hala itu dan menyatakan bahawa hubungan kini berada di landasan pemulihan.

Beliau turut menekankan kepentingan persefahaman strategik serta kerjasama dalam mengekalkan kestabilan ekonomi global.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI