fb fb fb fb fb

Kakak tua jambul kuning spesies burung paling terancam

Dianggarkan hanya terdapat sekitar 1,200 hingga 2,000 ekor spesies burung kakak tua jambul kuning di seluruh dunia/Foto AFP

HONG KONG, 19 Ogos - Usaha pemuliharaan spesies burung terancam kakak tua jambul kuning (yellow-crested cockatoo) kini giat dijalankan di Causeway Bay, di sini.

Sebuah kotak sarang buatan ditempatkan di atas pokok tua di kawasan berkenaan bagi menyediakan ruang pembiakan kepada burung itu, salah satu spesies burung paling terancam di dunia. Dianggarkan hanya terdapat antara 1,200 hingga 2,000 ekor spesies itu di seluruh dunia.

Meskipun habitat asalnya terletak di Indonesia dan Timor-Leste, sekitar 10 peratus daripada populasi global burung berkenaan dipercayai hidup di kawasan bandar Hong Kong.

Kehadiran spesies ini di kawasan bandar seperti Causeway Bay disifatkan luar biasa oleh pakar pemuliharaan, memandangkan habitat semula jadi haiwan itu semakin pupus akibat penebangan hutan serta kegiatan pasaran gelap.

Menurut Penyelidik Universiti Hong Kong, Dr. Astrid Andersson, kotak sarang buatan dipasang bagi membantu proses pembiakan yang semakin sukar berlaku secara semula jadi.

“Kami sedang memantau setiap tapak sarang dengan teliti. Populasi ini sangat kecil, dan setiap anak burung yang menetas memberi harapan baharu,” katanya.

Pihak berkuasa turut menjalankan pemantauan terhadap sebarang aktiviti pemerdagangan hidupan liar secara haram, yang disyaki menjadi satu lagi faktor utama penyusutan populasi burung tersebut.

Burung ini dikelaskan sebagai spesies sangat terancam oleh Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam (IUCN), dan dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES).

Sementara itu, pemerhati burung tempatan menyatakan bahawa kehadiran spesies ini di tengah-tengah kawasan bandar merupakan bukti ketahanan hidupan liar, namun menegaskan bahawa perlindungan jangka panjang amat diperlukan. - AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI